20 Soalan Paling Lazim tentang Islam


Pusat Pengajian Islam telah mengambil inisiatif menyebarkan dakwah melalui pengediaan buku 20 Soalan Paling Lazim Tentang Islam di Pusat Islam.

Buku yang mengupas isu-isu hangat mengenai Islam serta jawapannya ini ditulis oleh Dr. Zakir Abdul Karim Nasik.

Kepada seluruh hadirin hadirat yang hadir ke Pusat Pengajian Islam dibenarkan membaca serta membuat cetakan salinan sama ada untuk tujuan peribadi atau umum. Namun, sila pastikan buku-buku ini dikembalikan dalam keadaan asal.

Semoga usaha dakwah ini diredhai Allah.

Majlis Khatam Quran 2009

Pusat Pengajian Islam telah mengadakan majlis khatam Quran bagi tahun 1430H/2009M pada penghujung Ramadhan yang lalu. Majlis ini diadakan dalam kemeriahan para guru pelatih menanti ketibaan bulan Syawal.Alhamdulillah, program berjalan dengan lancar. Berikut adalah sedikit sebanyak gambar sekitar program:

Antara Peserta Khatam dan juga Urusetia program...

Ketika Usai Tarawikh...

Khatam al-Quran bermula...

Menunggu turn untuk membaca...

Ustaz Salah tekun memimpin peserta Khatam..

Doa Khatam di baca

Mendapat cenderamata Imam/Tazkirah

*kredit gambar dari blog Ustaz Nazmi

Salam Aidilfitri Kepada Semua Guru Pelatih


Pusat Pengajian Islam Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Kampus Tun Abdul Razak mengucapkan salam aidilfitri kepada seluruh warga kampus khususnya yang beragama Islam. Semoga Hari Raya kali ini disambut dengan meriah.

Berhati-hati ketika pulang ke rumah masing-masing.

Cara Sambut Hari Raya

Kalimah 'Id (Bukan Aid) ialah kalimah bahasa Arab yang bermaksud perayaan atau hari ulang tahun. Fitri pula bermakna berbuka atau makan minum. Maksudnya, pada Hari Raya (tanggal 1 Syawal) umat Islam dikehendaki berbuka dan haram berpuasa.

Fitri juga bermaksud tabiat semual jadi. Maksudnya orang-orang Islam setelah menjalani ibadah puasa selama sebulan disertai dengan ibadah-ibadah lainnya seperti solat Tarawih pada malam-malam Ramdhan, bertadarus al-Quran, Qiamullail, Zikrullah dan berdoa, bersedekah dan sebagainya. Amalan-amalan ini telah meleburkan dan membersihkan segala dosa sehingga keadaan diri mereka seolah-olah kembali seperti bayi yang baru dilahirkan.

Dengan penjelasan ini maka kita dapat mengambil kesimpulan bahawa 'Idil Fitri adalah hari kemenangan bagi umat Islam yang telah berjaya menundukkan nafsu amarah sepanjang bulan Ramadhan. Apabila muncul anak bukan Syawal, diri mereka telah bersih daripada dosa dan mereka sepatutnya benar-benar menjadi orang yang takwa. Inilah matlamat ibadah puasa sebagaimana firman Allah s.w.t. menerusi ayat 183 yang bermaksud:

"Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan puasa atas kamu sebagai diwajibkan atas umat-umat terdahulu sebelum kamu dengan puasa itu semoga kamu bertakwa."

Pengisian Program 'Idil Fitri

'Idil Fitri hendaklah disambut dengan acara-acara yang dianjurkan oleh al-Quran dan al-Sunah, iaitu ada tiga perkara seperti berikut:

1) Membanyakkan Ucapan Takbir

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud : "Dan sempurnakanlah puasa kamu mengikut bilangan dari dalam bulan Ramadhan (29 hari atau 30 hari) dan bertakbirlah (membesarkan Allah s.w.t.) atas petunjuk-Nya yang diberikan kepada kamu, semoga kamu bersyukur."
(Surah al-Baqarah:185)

Sabda Rasullullah s.a.w. pula yang bermaksud : "Hiasilah Hari Raya kamu dengan takbir dan rahmud ."

2) Pembahagian Takbir

Takbir Mursal : Sunnat dilafazkan sama ada oleh orang yang bermukim mahupun musafir, di masjid atau di jalan dengan cara duduk atau berdiri, di pasar-pasar, di rumah-rumah kediaman dan sebagainya. Waktu bermula daripada terbenamnya matahari akhir Ramadhan dan berterusan sepanjang malam Hari Raya hingga solat 'Id didirikan pada esok harinya. Demikian juga bagi Takbir 'Id Al-Adha (Hari Raya Qurban) sunat dilafazkan sepanjang malam hingga esok harinya ketika solat 'Id Al-Adha didirikan.

Takbir Muqaiyad : Iaitu takbir yang terikat dengan waktu-waktu solat. Jelasnya ia sunnat dilafazkan pada setiap kali selesai sembahyang. Waktunya bermula selepas Subuh hari Arafah (hari ke-9 Zulhijjah) dan berakhir selepas solat 'Asar pada 13 Zulhijjah (hari tasyrik).

3) Menunaikan Zakat Fitrah

Walaupun dibolehkan pembayarannya sejak awal Ramadhan, yang afdal ialah pada pagi Hari Raya selepas solat Subuh sebelum solat 'Id didirikan. Inilah menurut hukum asal yang dilakukan pada zaman hayat Rasullullah s.a.w. dan para sahabat serta tabi'in yang lalu.

MASA DAHULU

Zakat Fitrah pada peringkat awal yang lalu dalam bentuk makanan asasi dan terus disampaikan kepada fakir miskin. Jadi, dalam saat-saat mereka hendak menyambut 'Idil Fitri, hari mulia yang penuh dengan barakah, alangkah gembiranya mereka mendapat habuan makanan itu.

Ibnu Abbas r.a. berkata yang bermaksud : "Rasulullah s.a.w. memfardhukan zakat fitrah sebagai membersihkan kecacatan ibadah puasa kerana perbuatan yang sia-sia dan mencarut, disamping itu menjadi habuan untuk orang-orang miskin."

Pada riwayat yang lain pula, Rasullullah s.a.w. berdabda yang bermaksud : "Sesiapa yang menunaikannya sebelum solat 'Id, maka zakatnya itu diterima, tetapi yang membayarnya selepas solat 'Id, ia menjadi sedekah biasa." (Riwayat Abu Dawud, Ibnu Majjah dan disahkan oleh al-Hakim)

MASA KINI

Kini di negara kita, Zakat Fitrah diberikan dalam bentuk wang ringgit sebagai ganti beras. Fakir miskin telah menerima habuan sebelum Hari Raya dengan cara diberikan pendahuluan oleh pihak Majlis Agama Islam Negeri-negeri. Oleh itu, elok Zakat Fitrah dibayar lebih awal atau pada malam Hari Raya, untuk mengelakkan kesibukan tugas amil memungutnya. Sempena 'Idul Fitri selain diwajibkan berfitrah, kita umat Islam yang berkemampuan juga disunnatkan memberi sedekah-sedekah yang lain dengan mengutamakan kaum kerabat kita yang susah, kemudian barulah kepada fakir miskin dan anak-anak yatim.

4) Menghadiri Upacara Solat 'Id

Sekelian Muslimin dan Muslimat, tua dan muda, termasuk wanita-wanita yang haid di sunatkan menghadiri upacara perhimpunan tahunan tersebut bagi masyarakat Islam setempat. Kehadiran mereka sebagai menghayati syi'ar keagungan Islam dan perpaduan ummah, disamping itu mereka berpeluang bertakbir (membesarkan Allah s.w.t.) beramai-ramai, mendengar khutbah 'Id yang penting, berzikir dan mengaminkan doa yang dibacakan oleh imam. Bagi yang tidak uzur berpeluang mendirikan solat 'Id (Hari Raya).

Daripada Ummu 'Atuyah r.a. ujurnya : Kami disuruh membawa gadis-gadis kecil dan wanita yang haid pada Hari Raya ('Idil Fitri dan 'Idil Adhha), agar mereka menyaksikan kebajikan dan doa kaum Muslimin tetapi wanita-wanita yang sedang haid itu terpisah dari tempat solat." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Perlu diingatkan, bahawa Hari Raya Puasa kita disunnatkan menjamah makanan atau juadah terlebih dahulu, kemudian pergi ketempat solat, tetapi untuk Hari Raya Haji sunat tidak makan terlebih dahulu, sebaliknya kita bersegera keupacara perhimpunan solat. Solat 'Idil Adha disegerakan lalu menyembelih binatang qurban, kemudian kita pulang dengan membawa daging qurban, lalu dimasak dan baru makan.

Pada pagi-pagi Hari Raya, kita juga disunatkan mandi dan memakai pakaian yang serba baru atau yang bersih dan indah. Kemudian ketika pergi kemusollah (tempat solat), pergi melalui satu jalan dan pulang melalui jalan yang lain, dengan tujuan dapat bertemu lebih ramai sahabat handai dan saudara sesama Islam. Kita sama-sama mengucapkan Salam 'Idil Fitri sambil berbalas-balas senyuman, sama-sama menyatakan rasa syukur ke Hadrat Ilahi atas petunjuk dan pertolongan-Nya sehingga kita berjaya menundukkan nafsu sepanjang bulan Ramadhan.

Pada zaman hayat Rasulullah s.a.w. dahulu, solat 'Id diadakan di tanah lapang kerana masjid-masjid pada zaman itu kecil-kecil belaka. Kini solat 'Id diadakan di masjid atau disurau. Adalah amat elok jika dapat dibuatkan khemah atau ruang khas dil uar masjid atau surau untuk memberi peluang para wanita yang uzur (haid) duduk ditempat itu supaya mereka dapat sama-sama menikmati syi'ar 'Idil Fitri atau 'Idil Addha.

5) Amalan-amalan Menjelang Hari Raya Puasa

Umat-umat Islam digalakkan melakukan I'tikaf beramai-ramai di masjid pada malam-malam sepuluh terakhir pada bulan Ramadhan (malam ke-21 hingga malam ke-29 atau ke-30) kerana berharap bertemu malam LAILATIL QADAR atau malam kemuliaan yang mempunyai nilai lebih baik daripada 1000 bulan. Amalan ini dilakukan pada zaman hayat Nabi Muhammad s.a.w. dan para sahabat serta abad-abad berikutnya, bahkan hingga kini masih dilakukan begitu bersemarak disesetengah negara Islam khususnya di Masjidil Haram (Makkah), tetapi malangnya di negara kita kebanyakkan umat Islam menyambut 'Idil Fitri lebih tertumpu dalam bentuk fizikal atau lahiriah, yang mana sesetengahnya tidak sesuai dengan roh pengajaran Islam. Sejak awal Ramadhan lagi, mereka lebih tertumpu kepusat membeli-belah, melengkapkan persiapan membeli pakaian, hiasan rumah dan lain-lain lagi. Apabila Hari Raya sudah hampir, kebanyakkan suri rumah lebih tertumpu menyediakan kuih-muih yang pelbagai jenis.

Setiap individu Muslim dan Muslimah wajib menilai segala aktiviti yang telah berjalan selama ini, yang sesetengahnya telah menjadi 'budaya' termasuk bentuk acara menyambut 'Idil Fitri. Ciri-ciri yang diambil dari budaya luar Islam atau warisan budaya asing, yang tidak sesuai dengan aqidah dan syari'ah Islam hendaklah ditinggalkan. Kita boleh menyediakan makanan, juadah dan kuih-muih untuk Hari Raya tetapi hendaklah dalam bentuk sederhana.

Demikian juga dengan perhiasan rumah, pakaian untuk diri dan anak-anak mestilah sesuai dengan ekonomi keluarga. Acara ziarah menziarahi orang tua, saudara-mara, kaum kerabat, orang-orang yang berjasa kepada kita seperti para guru dan sabahat handai ini sebenarnya tidak terbatas sempena Hari Raya sahaja, tetapi perlu dilakukan pada hari dan bulan lain yang sesuai dari semasa ke semasa, sebagaimana sabda Rasullullah s.a.w.yang bermaksud : "Ziarahilah saudara mara kamu dari masa ke masa kerana ia boleh menambahkan kasih sayang." Lebih-lebih lagi menziarahi ibu bapa kita, hendaklah dilakukan labih kerap dan janganlah menunggu Hari Raya sahaja. Amalan meminta maaf juga perlulah dilakukan dengan segera apabila kita terasa telah melakukan kesilapan serta kesalahan pada orang lain.

Jadual Bertugas Ifthor Jama'e Ramadhan 1430H

HARI

OPSYEN BERTUGAS

OPSYEN

ISNIN

SMP AMBILAN JANUARI 2008

SMP SN, SMP MZ, SMP MT

SELASA

SMP AMBILAN JANUARI 2009

SMP SS, SMP PJ, SMP BM, SMP SN

RABU

PPISMP AMBILAN JULAI 2008 & KPLI

PPISMP SS, PPISMP PJ, PPISMP BM, PPISMP SN

KHAMIS

SMP AMBILAN JANUARI 2007

SMPPA 1107, SMPSN 1107, SMPMT 1107, SMPMT 2107

JUMAAT

PPISMP AMBILAN JULAI 2009

PPISMP PA, PPISMP SN, PPISMP BM, PPISMP SS, PPISMP BI


  • Kumpulan yang bertugas haruslah membantu untuk menyediakan makanan, membersih, mengemop dan lain-lain sebelum dan selepas berbuka puasa.
  • Hadir di Pusat Pengajian Islam sebelum jam 6 petang.
  • Kumpulan yang bertugas juga perlu menyediakan moreh sebelum solat tarawikh.

SETIAUSAHA
PUSAT PENGAJIAN ISLAM
IPGM TUN ABDUL RAZAK

Salam Ramadhan Kareem Dari Kami



Pusat Pengajian Islam IPGM Kampus Tun Abdul Razak mengucapkan selamat menyambut bulan Ramadhan al-Mubarak. Semoga kedatangan bulan ini memberi sejuta ganjaran kepada kita.

Ahlan wa Sahlan Ya Ramadan!


ANTARA KEBERKATAN DALAM RAMADAN IALAH AMALAN BERSAHUR YANG DAPAT MENYIHATKAN BADAN. - Gambar hiasan


TABIR Syaaban hampir berlabuh. Berlalu meninggalkan hari-hari yang penuh berkat dan diberkati. Alhamdulillah, Ramadan pula hampir bertamu bersama keberkatannya yang melimpah ruah dan tidak terhingga.

Sesungguhnya Allah SWT Maha Kaya dan Maha Berkuasa meletakkan keberkatannya pada apa sahaja perkara yang dikehendaki-Nya. Maka Ramadan telah dipilih-Nya untuk menerima antara curahan terbanyak keberkatan itu untuk diambil manfaat oleh sesiapa yang dipilih untuk mendapatkannya. Sebagai antara ikhtiar kita untuk digolongkan dalam golongan terpilih ini, marilah kita mempersiapkan diri menyambut Ramadan dengan menghimbau kembali makna dan martabat bulan yang mulia ini.

Ramadan itu adalah bulan yang tertinggi darjat dan martabatnya di sisi Islam. Pada bulan inilah Allah memfardukan puasa ke atas kaum muslimin dan dicatatkan sebagai kewajipan yang tidak boleh ditinggalkan. Firman Allah SWT dengan maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa, sebagaimana telah diwajibkan ke atas umat sebelum kamu, moga-moga kamu bertakwa. (al-Baqarah :183)

Di bulan Ramadan juga, Allah SWT menurunkan kitab suci al-Quran dan dipilih di antara malamnya suatu malam yang dinamakan lailatul qadar yang mana ia adalah lebih utama daripada seribu bulan. Allah SWT berfirman dengan maksudnya: Di dalam bulan Ramadan itulah diturunkan al Quran yang menjadi petunjuk bagi manusia... (al-Baqarah: 185)

Kelebihan Ramadan

Mengenai kelebihan bulan Ramadan, terdapat banyak hadis Nabi SAW yang membicarakan tentangnya. Antaranya: "Bulan Ramadan adalah bulan keampunan. Apabila seseorang hamba berpuasa pada permulaan bulan Ramadan, maka Allah SWT mengampunkan dosa-dosanya hingga akhir bulan tersebut hingga ke Ramadan berikutnya. Bagi hamba tersebut, dibina mahligai yang indah di dalam syurga, pintunya diperbuat dari emas bagi setiap hari dia berpuasa dan 70,000 malaikat memohon keampunan untuknya dari pagi hingga tenggelam matahari".

Bulan Ramadan dikenali dengan 'bulan kesabaran'. Ini kerana pada amalan berpuasa pada bulan ini menuntut kita bersabar menahan diri dari melakukan segala perbuatan yang boleh membatalkan puasa dan perkara yang membawa kepada kurangnya pahala puasanya.

Rasulullah SAW sendiri menamakan bulan Ramadan dengan bulan kesabaran. Dalam satu hadis dari Salman r.a yang diriwayatkan oleh Khuzaimah di dalam Sohihnya bahawa Rasulullah bersabda, maksudnya: "Ia adalah bulan kesabaran dan pahala kesabaran ialah syurga."

Menurut pendapat cendekiawan Islam, sabar boleh dibahagi kepada tiga:

lPertama: Sabar dalam mentaati perintah Allah SWT.

lKedua: Sabar dalam meninggalkan perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah SWT.

lKetiga: Sabar dalam menerima takdir Allah SWT yang perit dan menyakitkan.

Kesemua jenis sabar ini terangkum di dalam ibadah puasa, kerana mereka yang berpuasa perlu bersabar dalam mentaati perintah Allah SWT, bersabar meninggalkan perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah iaitu kehendak syahwat dan bersabar menghadapi keperitan rasa lapar, dahaga dan lemah badan kerana melakukan ibadah puasa.

Ramadan juga adalah bulan digandakan amalan kebaikan yang dilakukan. Abu Bakar ibn Abi Maryam r.a berkata daripada sheikh-sheikhnya, bahawa mereka berkata: "Apabila tiba bulan Ramadan, maka hendaklah kamu meluaskan nafkah pada bulan tersebut, kerana memberi nafkah pada bulan tersebut digandakan pahalanya seperti memberi nafkah pada jalan Allah dan sekali bertasbih pada bulan tersebut lebih afdal daripada seribu tasbih pada bulan yang lain. Satu solat yang dikerjakan pada bulan Ramadan lebih afdal daripada seribu rakaat solat yang dikerjakan pada bulan yang lain".

Ramadan adalah bulan yang digandakan segala amal kebaikan. Allah SWT menggandakan ganjaran amalan berpuasa melebihi amalan-amalan yang lain. Maka berpuasa di bulan Ramadan sudah tentu menjanjikan ganjaran yang berlipat kali ganda berbanding puasa pada bulan lain. Inilah antara kesan kemuliaan bulan Ramadan dan puasa Ramadan yang difardhukan oleh Allah SWT ke atas hamba-hamba-Nya.

Ibadah puasa merupakan suatu kefardhuan yang jami', (komprehensif dan merangkumi ibadah-ibadah yang lain) dan ibadah yang kamil (sempurna dan lengkap) kerana melalui puasa seseoraang mampu mengenal kemanisan iman dan ihsan. Intipatinya ialah hati dan roh.

Tujuannya supaya orang yang berpuasa dapat menghayati dan merasai kehidupan golongan soleh yang telah berjaya menyucikan jiwa dan raga, orang-orang yang luhur dan mendekatkan diri kepada Allah SWT, tidak melakukan kefasiqan, perbalahan, kemaksiatan zahir dan batin.

Ibadah puasa juga merupakan suatu amalan simbolik, menjadi rahsia di antara seseorang hamba dengan Tuhan-Nya. Lantaran itu, orang yang berpuasa diberi keistimewaan Allah SWT memilih dari senarai carta ibadah-ibadah yang lain untuk disimpan di dalam perbendaharaannya sebagai jaminan untuk dipersilakan masuk ke syurga dan layak bertemu dengan-Nya.

Rasulullah SAW h mengungkapkan dalam hadis Qudsi yang diriwayatkan daripada Tuhan-Nya yang bermaksud: "Semua amalan anak Adam adalah bagi dirinya melainkan puasa. Ia adalah bagi-Ku dan Akulah yang membalasnya".

Kerana Allah

Ramai kalangan ahli fikah, ahli sufi dan ulama yang lain membahaskan makna hadis ini dengan lebih terperinci. Di antara huraian mereka yang ialah :

Pertama: Seseorang yang berpuasa akan meninggalkan segala lintasan dan keinginan nafsunya semata-mata kerana Allah SWT. Jika diteliti, perkara demikian tidak terdapat pada ibadah yang lain melainkan di dalam puasa.

Misalnya, bagi seseorang yang solat terpaksa meninggalkan keinginan syahwatnya termasuk makan dan minum, namun masanya tidak panjang seperti masa berpuasa. Malah, orang yang hendak mengerjakan solat, makruh mengerjakan solat dalam keadaan dirinya berkeinginan untuk makan.

Oleh itu, disuruh mendahulukan makan daripada solat. Berbeza keadaannya bagi orang yang berpuasa. Dia perlu menahan nafsunya dan keletihan berpuasa sepanjang waktu siang. Bahkan sesetengah negara, ia terpaksa menahan dahaga dan lapar dalam cuaca yang amat panas atau sejuk.

Sekalipun orang yang berpuasa kadang-kala terlalu berkeinginan untuk mendapatkan apa yang diinginkan oleh nafsunya, tetap juga ditinggalkan semata-mata kerana Allah, walaupun perkara tersebut boleh didapati atau dilakukan di tempat yang tidak diketahui oleh seorang manusia pun.

Ini menunjukan tanda keimanannya yang sahih dan benar. Orang yang berpuasa mengetahui bahawa Allah sentiasa melihat perbuatannya, sekali pun ketika berada di tempat yang tersorok atau tersembunyi. Lantaran itu, Allah berfirman selepas itu, maksudnya: "Sesungguhnya dia meninggalkan syahwatnya, makanan dan minumannya semata-mata kerana Aku".

Sebahagian salafussoleh berkata: "Berbahagialah orang-orang yang meninggalkan syahwatnya kerana suatu janji ghaib yang tidak dapat dilihatnya".

Apabila seseorang mukmin yang berpuasa itu yakin bahawa Allah meredainya ketika dia meninggalkan syahwatnya demi keredaan Tuhannya, maka dia beroleh kelazatan dengan meninggalkan nafsu syahwatnya lantaran keimanan dan keyakinannya itu. Dia memandang bahawa pahala atau azab yang bakal diperolehinya adalah lebih besar daripada kelazatan tidak berpuasa yang tidak dilihat oleh orang lain. Bahkan, bagi sesetengahnya kebencian melakukan perbuatan yang dimurkai Allah tersebut adalah lebih besar daripada ketakutan terhadap azab seksa akhirat akibat tidak berpuasa.

Oleh kerana inilah, kebanyakan orang yang beriman, sekali pun mungkin terlintas membatalkan puasa Ramadan tanpa sebarang keuzuran, tidak akan melakukannya. Sebabnya, mereka mengetahui bahawa Allah SWT akan murka terhadapnya sekiranya dia berbuka. Inilah tanda keimanan seseorang mukmin.

Maka kelazatannya berpindah kepada perkara yang diredai Allah SWT sekalipun perkara tersebut bertentangan dengan kehendak nafsunya. Malah dia berasa perit untuk melakukan perkara yang dimurkai oleh Allah, sekali pun perkara itu cocok dengan kehendak syahwatnya.

Kedua: Puasa juga adalah rahsia di antara seseorang hamba dengan Tuhannya. Ia tidak dapat dilihat atau ditinjau oleh sesiapa pun melainkan Allah SWT. Sehingga dikatakan bahawa amalan puasa tidak dicatat oleh Malaikat Hafazah (pencatat amalan).

Demikianlah sekelumit kecil daripada kebesaran dan kemuliaan Ramadan yang melayakkannya dianggap sebagai Tamu Agung yang datang berkunjung. Wajiblah bagi kita menyambut, melayan dan menunaikan segala hak tetamu istimewa ini, yang belum tentu akan datang berkunjung lagi dalam hidup kita, dengan sebaik dan sesempurna mungkin. Ahlan wa Sahlan Ya Ramadan!

sumber: Utusan